Kolej Komuniti tawar peluang
pembelajaran sepanjang hayat.
Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) merupakan antara agenda
utama yang telah digariskan dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara
(PSPTN). PSH
merupakan tonggak ketiga dalam pembangunan modal insan
berpengetahuan dan berkemahiran tinggi selain daripada pendidikan asas dan juga
sebagai agenda utama negara dalam pembangunan modal insan.
PSH dilihat sebagai mekanisma yang dapat membantu negara untuk
melatih rakyat Malaysia ke arah peningkatan pengetahuan dan kemahiran. Ini
adalah selaras dengan agenda negara untuk menjadi negara berpendapatan tinggi
menjelang tahun 2020.
Melalui PSH kerajaan berharap
supaya rakyat membangunkan ekonomi isi rumah
dan sekaligus dapat membantu meningkatkan pembangunan ekonomi negara.
PSH yang dilaksanakan oleh Institusi menggunakan pelbagai
pendekatan antaranya ialah pendidikan jarak jauh, pendidikan fleksibel,
pengiktirafan pengalaman bekerja (recognition of prior learning) dan penawaran kursus pendek
bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran diri.
Di Malaysia, program PSH
yang ditawarkan semakin meluas menerusi kementerian dan pelbagai agensi dibawah
kementerian-kementerian ini. Antara yang paling aktif ialah Kolej Komuniti di
bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang juga diiktiraf sebagai Hab
Pembelajaran Sepanjang Hayat kementerian.
Pembelajaran Sepanjang Hayat
(PSH) ialah fenonema globalisasi yang semakin penting. Oleh itu Kolej Komuniti
telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan usaha berterusan dan berimpak
tinggi dapat dijalankan untuk membudayakan PSH dikalangan masyarakat melalui
penganjuran kursus-kursus PSH.
Kolej komuniti telah membuka
peluang kepada orang ramai untuk menyertai kursus pendek pada setiap hujung
minggu di semua 86 buah kolej komuniti seluruh negara. Kursus ini diberikan
pada kadar bayaran minimum bermula serendah RM1.Selain itu turut ditawarkan Kursus
Terlanggan di mana organisasi dan persatuan boleh berhubung terus dengan kolej
komuniti berhampiran untuk mendapatkan khidmat ini.
Kursus teknikal dan
kemahiran yang diitawarkan oleh kolej komuniti telah memberikan impak positif
kepada masyarakat. Ramai golongan pekerja dan graduan diberi peluang untuk
meningkatkan kemahiran melalui program upskilling
dan reskilling. Sekaligus meningkatkan peluang kebolehdapatan
pekerjaan serta peluang mendapat gaji yang lebih baik.
Terdapat juga bekas peserta
kursus PSH di kolej komuniti yang sebelum ini adalah pesara, suri rumahtangga
dan orang kurang upaya kini membuka perniagaan sendiri dan mampu meningkatkan
pendapatan keluarga.
Usaha ini bukan sahaja
membantu individu terlibat, tetapi juga turut membantu menjana ekonomi serta mengupayakan
negara supaya lebih berdaya saing dan terus maju melalui pencapaian modal insan
yang berkualiti, berkemahiran dan berpengetahuan tinggi.