Thursday, 28 November 2013

Peluang untuk tingkat pengetahuan dan kemahiran




Kolej Komuniti tawar peluang pembelajaran sepanjang hayat.

Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) merupakan antara agenda utama yang telah digariskan dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN). PSH
merupakan tonggak ketiga dalam pembangunan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi selain daripada pendidikan asas dan juga sebagai agenda utama negara dalam pembangunan modal insan.

PSH dilihat sebagai mekanisma yang dapat membantu negara untuk melatih rakyat Malaysia ke arah peningkatan pengetahuan dan kemahiran. Ini adalah selaras dengan agenda negara untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Melalui PSH kerajaan  berharap supaya rakyat membangunkan ekonomi isi rumah  dan sekaligus dapat membantu meningkatkan pembangunan ekonomi negara.

PSH yang dilaksanakan oleh Institusi menggunakan pelbagai pendekatan antaranya ialah pendidikan jarak jauh, pendidikan fleksibel, pengiktirafan pengalaman bekerja (recognition of prior learning) dan penawaran kursus pendek bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran diri.

Di Malaysia, program PSH yang ditawarkan semakin meluas menerusi kementerian dan pelbagai agensi dibawah kementerian-kementerian ini. Antara yang paling aktif ialah Kolej Komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang juga diiktiraf sebagai Hab Pembelajaran Sepanjang Hayat kementerian.
Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) ialah fenonema globalisasi yang semakin penting. Oleh itu Kolej Komuniti telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan usaha berterusan dan berimpak tinggi dapat dijalankan untuk membudayakan PSH dikalangan masyarakat melalui penganjuran kursus-kursus  PSH.
Kolej komuniti telah membuka peluang kepada orang ramai untuk menyertai kursus pendek pada setiap hujung minggu di semua 86 buah kolej komuniti seluruh negara. Kursus ini diberikan pada kadar bayaran minimum bermula serendah RM1.Selain itu turut ditawarkan Kursus Terlanggan di mana organisasi dan persatuan boleh berhubung terus dengan kolej komuniti berhampiran untuk mendapatkan khidmat ini.
Kursus teknikal dan kemahiran yang diitawarkan oleh kolej komuniti telah memberikan impak positif kepada masyarakat. Ramai golongan pekerja dan graduan diberi peluang untuk meningkatkan kemahiran melalui program upskilling dan reskilling.  Sekaligus meningkatkan peluang kebolehdapatan pekerjaan serta peluang mendapat gaji yang lebih baik.
Terdapat juga bekas peserta kursus PSH di kolej komuniti yang sebelum ini adalah pesara, suri rumahtangga dan orang kurang upaya kini membuka perniagaan sendiri dan mampu meningkatkan pendapatan keluarga.
Usaha ini bukan sahaja membantu individu terlibat, tetapi juga turut membantu menjana ekonomi serta mengupayakan negara supaya lebih berdaya saing dan terus maju melalui pencapaian modal insan yang berkualiti, berkemahiran dan berpengetahuan tinggi.